Friday, June 26, 2009

Tukar Budaya

Kalau ada satu perkara yang saya boleh kongsi dengan semua anak-anak muda di Malaysia tentang apa yang saya perolehi sepanjang pengajian saya di Australia, ialah tentang luasnya dunia yang boleh kita terokai kalau kita mahu.

Memang benar, bukan senang mendapat peluang menjejak kaki ke negara orang. Tapi titik mula kembara kita tidak semestinya bermula di luar sempadan Malaysia. Setelah hampir setahun menghabiskan masa saya di Australia yang asalnya saya buru kerana saya mahu lari dari tanah air sendiri, sekarang saya tidak sabar pula mahu kembali ke Malaysia. Sebab saya tahu, apa yang saya alami dan pelajari di sini, kalau saya mahu semuanya saya boleh praktiskan di Malaysia.

Lebih 20 tahun membesar dalam komuniti Melayu, di sini saya mula menikmati kelebihan berkenalan dengan sahabat-sahabat dari pelbagai negara dan bangsa. Masing-masing mempunyai cerita dan pengalaman unik yang tersendiri. Teman serumah saya dari Itali memasak pasta paling sedap pernah saya rasa. Sahabat saya, chef dari Australia sangat meminati budaya India sehingga hampir semua sejarah, mitos, dan pengetahuan am tentang India boleh dia ceritakan kepada saya.

Buat seketika, di sini saya melihat dan mampu percaya dengan dunia persahabatan tanpa sempadan.
Begitu juga dengan falsafah “bekerja untuk hidup” yang diamalkan oleh kebanyakan penduduk Australia. Ini adalah satu lagi perkara baru yang saya belajar di sini. Bagi mereka, pekerjaan cuma satu cara untuk memenuhi perkara-perkara yang mereka mahu capai dalam hidup, bukannya matlamat dalam hidup itu sendiri. Oleh sebab itu, saya dapati ramai yang saya kenali di sini mempunyai pandangan hidup yang sangat menyenangkan. Hari-hari minggu penduduk di Australia dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti luar seperti bersukan, piknik, dan berkhemah.

Selain itu, saya dapat lihat bagaimana pembangunan ekonomi yang pesat seiring dengan penjagaan alam sekitar yang rapi mampu meningkatkan taraf hidup rakyat Australia. Dengan adanya sistem kenderaan awam yang sistematik dan efisien, bandar Sydney dan kawasan-kawasan sekitarnya boleh dilawati dengan mudah tanpa memerlukan kenderaan peribadi. Begitu juga dengan kemudahan awam di kawasan rekreasi dan taman negara, hanya dengan kos yang rendah saya boleh berkhemah di kawasan rekreasi sekitar Sydney tanpa perlu risau akan keperluan keselamatan atau keselesaan diri kerana semuanya disediakan dan dijaga dengan baik oleh kerajaan tempatan dan negeri.

Melihat taraf dan kualiti hidup yang tinggi di Australia meningkatkan azam saya untuk mengamalkan ilmu sarjana dan pengalaman yang saya perolehi di sini di Malaysia. Bagi saya, tidak mustahil satu hari nanti, sekiranya anak-anak muda Malaysia mengamalkan budaya meneroka dunia tapi di masa yang sama menanam nilai untuk berbakti di tanah air sendiri, negara kita satu hari nanti mampu mengorak langkah standing dengan negara-negara maju yang lain.

No comments:

The end

After nearly ten years, ati-the-reader.blogspot.com is now concluding its final chapter. The blog has been a definitive part of my life, an...